Pengulas: Islam Taufiq
Prof. Dr. Muhammad Badie’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin telah mengajak umat Islam supaya merebut kelebihan bulan Ramadhan dan hari hari akhir dengan perancangan dan persiapan untuk kehidupan baru melalui strategi yang sesuai dengan hadiah dan anugerah yang terdapat di bulan ini. Ianya bertepatan dengan kepentingan untuk melengkapkan kemahuan dan keazaman yang mendorong kita untuk bekerja, keluar daripada kelemahan, menentang kelesuan supaya bergabung dan memberi sumbangan dalam menyelamatkan tanahair kita untuk keluar daripada kemalasan bekerja dan keengganan untuk bertindak.
Menurut Mursyid di dalam risalah mingguannya di atas judul “Anugerah dan hadiah Ramadhan”: “Ramadhan datang ke dunia kita untuk mengubah kepada dunia yang baru dalam semua perkara, baik di peringkat individu, keluarga, masyarakat mahupun negara meskipun penderitaan menimpa saudara kita di Palestin, Iraq dan Afghanistan. Kita tetap meraikannya dengan kegembiraan hati meskipun tekanan menimpa umatnya seperti konspirasi musuhnya, kerakusan musuhnya dan kejahilan penduduknya. Semua ini Allah mengkhususkan pada bulan ini bukan bulan-bulan yang lain”. Kenyataan beliau ini sebagai seruan untuk mengisytiharkan taubat kepada Allah berdasarkan keadaan kita ketika ini, taubat dari suatu kehidupan kepada kehidupan yang lain, dari satu pemikiran kepada pemikiran yang lain, dari satu harapan kepada harapan yanag lain. Alangkah perlunya dunia kita kepada Islam yang hidup di dalam hati nurani penganutnya, lelaki dan perempuan, tua dan muda sepertimana Islam pernah melekat pada hati dan pemikiran para sahabat yang mulia.
Beliau menambah: “Ayuh kita mulakan taubat dari kehidupan yang hina kepada kehidupan yang mulia (izzah), dari kehidupan yang ditempuhi sekarang kepada kehidupan yang mengembalikan kemuliaan dan kecemerlangan, dari kehidupan yang mundur dan tertinggal kepada kehidupan yang bekerja dan berjihad, dari pemikiran yang pesimis kepada pemikiran yang optimis dalam menghadapi sebarang bentuk kezaliman, kerosakan dan penindasan, dari pemikiran putus asa kepada pemikiran semangat membara ke arah kesanggupan melakukan pengorbanan demi keamanan dan kesejahteraan.
Mursyid menegaskan lagi tentang kepentingan merebut hari-hari akhir Ramadhan untuk memulakan kehidupan dalam aspek perubahan dan pengislahan seperti menyucikan jiwa, membersihkan dan mendidiknya supaya dalam ketaatan sehingga setiap individu merasai muraqabah dengan Allah dalam apa jua keadaan, membanyakkan zikir, tilawah al-Quran, doa dalam apa jua kesempatan dan membetulkan perjalanan hidup mereka di tengah masyarakat dari segi muamalah, akhlak, tingkah laku seperti soal kemurahan hati, pengorbanan dan berhati mulia.
Dr. Badie’ turut menasihati: “Jadilkan Idul Fitri kita sebagai suatu kemerdekaan atau pembebasan..kemerdekaan dalam semua aspek hidup adalah maksud Idul Fitri yang sebenar. Kemerdekaan individu dari kekolotan, kemerdekaan tanahair dari penguasaan kuasa asing dan kemerdekaan umat dari cengkaman pihak lain. Ketika hati menyatakan ubudiah kepada Allah sebenarnya suatu kemerdekaan dan pembebasan dari ketundukan kepada manusia dan ketakutan kepada mana-mana kuasa selain kuasa Allah.
Di samping itu Mursyid turut menyeru supaya merebut hari-hari akhir Ramadhan dengan beriktikaf di masjid supaya memperolehi anugerah yang tidak ternilai iaitu hubungan yang erat dengan Allah, kemanisan iman, pembersihan dan keampunan. Iktikaf tidak lain hanya untuk mencapai maksud ini seperti yang dinyatakan oleh para ulamak dan seperti yang diamalkan dalam doa orang yang beriktikaf: “Saya tidak akan tinggalkan dari berada di pintu rahmatMu sehingga Engkau mengampuni dosaku”.
Mursyid menyeru supaya berdoa di malam Lailtul Qadar; anda memohon keampunan secara menyeluruh ke atas semua dosa. Anda semasa bertahajud memanjangkan munajat dengan doa: اللهم إنك عفوٌّ كريم تحبُّ العفو فاعفُ عني, dan anda memohon suatu kehidupan yang saling bertolak ansur dan saling memohon ampun sesame saudara Islam. Mursyid juga menyeru supaya orang yang berpuasa menghirup udara bersih yang meninggikan jiwa mereka, udara segar yang membersihkan hati mereka dan merasai keindahan puncak ruh mereka selepas mereka mengetahui bahwa para malaikat membantu mereka, menutup keburukan mereka dan memohon agar diberi keampunan dan penghapusan dosa. Mursyid juga menyeru supaya merebut malam yang penuh keampunan dan keistimewaan iaitu malam-malam akhir Ramadhan.
http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=70172&SecID=210