Aku benar-benar merasakan, aku adalah antara segelintir di muka bumi ini yang sungguh bertuah. Kisah bermula apabila buat pertama kalinya aku diperkenalkan dengan fikrah Islam yang syumul yang berasaskan aqidah salimah hampir 30 tahun yang lalu. Sebelum itu aku sebenarnya adalah seorang Islam 'ikutan'. Tidak tahu mengapa aku harus beramal, melainkan sebagai kewajipan yang longgar.
Fikrah Islamiah yang ku miliki ini sudah kumiliki sekian lama dan saban hari mulai ku diperkenalkan terus ku suburkan dan perkuatkan. Aku sentiasa 'diberikan' kefahaman yang baru setiap hari dan kesempatan berinteraksi dengan para amilin. Bertambah ilmu, bertambah jelas pandanganku, bertambahlah mantap keyakinanku. Apa jua fenomena dalam hidup dihadapan ku, di dalam masyarakat ini, di dunia ini ... menambahkan rasa keyakinanku. Inilah Jalan Nya. Jalan yag satu... jalan yang dilalui oleh Rasulullah saw, para sahabatnya dan salafus solih yang berjuang untuk meletakkan Deen-ul Islam pada kedudukan yang sewajarnya.
Ya ... kita diajar di dalam deen ini untuk beramal. Rasulullah saw yang mengajar kita. Amal Islami untuk menjayakan misi dan visi kerasulan Rasulullah saw. Kewafatannya tidak mengakhiri perjuangan deen ini. Ia disambung oleh para khalifah yang empat dan para sahabat yang ditarbiah di dalam madrasah rasulullah saw. Wahyu yang diterima Rasulullah secara berperingkat dan peristiwa-peristiwa yang dilalui Rasulullah adalah madrasah tarbiyah yang mempunyai 'seribu satu' panduan untuk rujukan dalam perjalanan dakwah dan tarbiyah ummat selepas itu. Siapakah gerangan yang boleh menterjemahkan manhaj dan gagasan Rasulullah saw itu untuk panduan dan ikutan umat seterusnya? Siapakah gerangan yang akan menunjukkan kepada mereka yang ingin beramal bagi menyambung misi dan visi perjuangan Rasulullah saw sebagai penamat ambiya?
Alhamdulillah ... aku benar-benar bersyukur kepadaMu ya Rahman ya Rahim.... Kau telah tunjukkan dan izinkan aku untuk bersama-sama mereka yang ingin beramal meneruskan tanggungjawab besar deenMu yang belum disempurnakan. Aku insaf, aku masih memiliki banyak kelemahan, namun aku sedar bahawa aku tidak ada jalan pilihan lain yang wajar diikuti. Jalan yang ku pilih ini yang dapat menyampaikan hakikat amal yang sebenar.
Jalan dakwah, tarbiyah dan tanzim Rasulullah yang dilaksanakan bersama para sahabat memiliki disiplin amal yang terpimpin. Jalan tersebut telah dapat di gali kembali dan diketengahkan oleh As Syahid Hassan Al-Banna dan Ikhwan Mslimin. As-Syahid adalah mujaddid penerus perjuangan, membawa misi ke arah pencapaian misi yang tinggi deen ini. Sesiapa yang beramal dengan disiplin amal tersebut, sebenarnya dialah yang beramal meneruskan misi dan visi Rasulullah saw. Alangkah ruginya aku jika aku tidak beramal berasaskan dan mengikut disiplin amal yang dapat menyampai dan menemukan aku dengan disiplin amal Rasulullah saw. Aku bersyahadah dan berselawat ke atasmu ya Rasulullah saw, kerana aku berhajat memastikan setiap detik hidup dan amalku adalah semata-mata mengikuti jalan mu ... jalan untuk meraih keridhaan Allah Rabbul Alamin.
Wallahu 'alam.
No comments:
Post a Comment