Tuesday, February 23, 2010

Amalan Syura dan Ta'at dalam berjamaah


Amalan Syura dan Ta'at dalam berjamaah adalah tajuk yang sangat releven dan sangat perlu untuk para penggerak dakwah dalam memahami selok belok dalam kerja amal jama'i. 'Amalan Syura' secara fitrahnya diperlukan di dalam kehidupan manusia dari dahulu. Manusia, sepanjang zaman, secara fitrah tidak dapat hidup sendirian. Ia sentiasa memerlukan manusia lain untuk mencapai tujuan hidupnya. Lihat kisah • Fir'aun [As-Syuara’ 26:34-37], • Ratu Balqis [27:32-33], • Nabi Musa AS [Taha 20:29-32], • Kaum kafir Makkah [8:30]

Bagi manusia muslim, Allah telah mengarahkan agar dalam melaksanakan aktivitinya dengan beramal jama'i [As-Saff 61:4, Ali Imran 3:104].

Para penggerak dakwah harus sedar dan memikirkan persoalan-persoalan antaranya... di zaman apakah kita ini? ... haruskan kita merasa selesa, boleh berehat dan bersenang-lenang dengan rezeki dan kemewahan hidup yang dikecapi? Apakah yang sedang berlaku di luar sana ? ... dan mungkin sudah mendekati depan pintu rumah kita ...! Tidakkah kita merasa cemas?... Lihat dan renungkanlah segala macam gejala sosial, penzinhan, pembuangan anak-anak luar nikah..!? dan sebagainya.

Apakah yang wajar kita lakukan..?.. Apa yang kita harus terus lakukan....? berdiam diri? ... atau teruskan usaha dakwah?

Alhamdulillah ... kita berada di sini... berada besama gerombolan aktivis dakwah ... mengembling tenaga, mencetus minda, melakukan perubahan ...
Sedarlah ... keadaan ummat pernah berada di dalam kegemilangan. Pada tanggal 1924 ia melalui sejarah paling hitam apabila hilangnya Khilafah Islamiah disebabkan kelemahan penganutnya dan konspirasi musuh-musuh Allah. Semenjak tarikh itu, umat Islam dan nagara ummat Islam dicerooh, di pecah-pecah dan diperentah ... malah di zalimi, diperkotak katik dan dipecah belah kesatuan ummah. Segenap institusi menjadi lemah dan tidak berfungsi, sebaliknya diganti dengan sistem fikiran akal yang lemah... dalam pendidikan, dalam ekonomi, dalam politik ... sistem Ilahi yang penuh keberkatan diganti dengan sistem-sistem kapitalis, kominis, libralis, demokratik bebas ... yang akhirnya merosak dan menurunkan martabat kemanusiaam itu sendiri. Barat yang kononya datang membawa kemajuan dan kebebasan, hakikatnya membawa kehancuran dan kemusnahan. Ini adalah kerana, barat datang dengan asas nilai yang 'kosong'. Syed Qutb menjelaskan;

Sesungguhnya peranan pimpinan barat ke atas umat manusia ini telah hampir tamat. Ini bukanlah kerana tamadun Barat itu telah muflis dari segi benda atau telah lemah dari segi ekonomi dan kekuatan tentera …. tetapi sebenarnya kerana sistem Barat itu telah tamat tempohnya sebab ia tidak lagi mempunyai stok “nilai” yang melayakkan ia memegang pimpinan…

Oleh itu, maka umat manusia mestilah diberikan pimpinan baru!

Umat manusia perlukan suatu pimpinan yang mampu menyambung terus tamadun kebendaan seperti yang telah dapat dicapai sekarang melalui tamadun cara Eropah itu. ….juga yang mampu memberikan nilai baru yang lengkap, setanding dengan yang telah sedia ada dan telah popular di dalam masyarakat manusia, juga yang mempunyai program yang kemas kini, positif dan praktikal.

Hanya Islam sahajalah yang mempunyai nilai-nilai dan program yang sangat diperlukan itu.


Oleh itu marilah kita sama-sama menyahut firman Allah dalam surah Ali-Imran: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”.


Salah satu usaha yang diajar oleh Rasulullah dan diikuti oleh para ulama' muktabar di dalam menjalankan usaha dakwah ialah melalui jamaah dan beramal dengan disiplin amal jama'ai. 'Amal Jama'i atau kerja bersama adalah kegiatan yang merupakan produk suatu keputusan jama'ah yang selaras dengan manhaj (sistem) yang telah ditentukan bersama, untuk mencapai tujuan tertentu. Ciri-ciri amal jama’i adalah:-

1. Aktiviti yang akan dijalankan harus bersumber dari keputusan atau persetujuan jama'ah.

2. Jama'ah yang dimaksud harus mempunyai visi dan misi, serta struktur organisasi yang tersusun rapi.

3. Setiap tindakan dan aktivitinya harus sesuai dengan dasar dan strategi atau pendekatan yang telah digariskan oleh jama'ah.

4. Seluruh tindakannya harus bertujuan untuk mencapai cita-cita yang telah ditetapkan bersama.

Saidina Umar R.A. menyatakan “Sesungguhnya tidak ada Islam tanpa jama’ah, tidak ada jama’ah tanpa kepemimpinan dan tidak ada kepemimpinan tanpa ketaatan”

Antara amalan terpenting di dalam amal jama'i adalah pelaksanaan Syura (musawarah). Rasulullah adalah di antara manusia yang paling banyak mempraktikkan syura di dalam kehidupannya sebagai Rasul, sebagai pemimpin gerakan dakwah, sebagai murabbi, sebagai pemimpin negara dan sebagai pemimpin perang. Rasulullah SAW adalah orang yang paling banyak bermusyawarah dengan para sahabatnya, beliau pernah bermusyawarah dengan mereka pada perang Badar menjelang dimulainya peperangan, di tengah-tengahnya perang serta setelahnya. Beliau tidak memasuki medan perang kecuali setelah merasa tenang dengan keinginan dan aspirasi para sahabatnya. Seterusnya di dalam peperangan lain seperti dalam perang uhud, khandak, perjanjian hudaibiah dan lain-lain.

Para sahabat seterusnya mempraktikkan budaya musyawarah bermula dnegan pimpinan Saidina Abu Bakar, Umar, Othman dan ALi A.S. "Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu..." (Ali Imran: 159).

Syura dalam amal jama'i tidak berhenti di situ. Yang lebih penting ialah bagaimana anggota jamaah mentaati keputusan syura.

Taat mengikut AsSyahid Hassan Al-Banna (rukun Bai'ah ke enam ialah TAAT (kepatuhan) adalah menjalankan perintah dan merealisasikannya dengan serta merta, baik dalam keadaan sulit maupun mudah, saat bersemangat maupun malas.

Di dalam dakwah dan tarbiyah yang mempunyai 3 marhalah iaitu Ta'arif (fasa penyebaran kefahaman Islam); Taqwin (Pembinaan kekuatan); dan Tanfidz (Pelaksanaan), perlu sekali gus menerap dan melaksanaan hakikat TAAT. Kerana di setiap marhalah dakwah ini, perjalanan dakwah dan tarbiyah menuntut penglibatan dan penyertaan yang padu dari semua ahli di setiap lapisan. Sirah perjalanan Rasulullah semenjak di awal dakwah di Mekah lagi menggambarkan hakikat tersebut berterusan sehingga ketikanya Haji Wida'.

Di dalam Risalah Ta'alim AsSyahid menjelaskan, "Tanpa taat tidak akan ada harakah, tidak akan ada sistem, tidak akan ada pertubuhan, tidak akan ada pemebrsihan jiwa, tidak akan ada langkah bersegera ke arah keridhaan Allah, Tidak akan ada jihad dan tidak akan ada matlamat yang boleh dicapai.

Dan... Taat yang sempurna tidak akan dapat diwujudkan melainkan setelah menguasai ilmu dan kepercayaan terlebih dahulu". Oleh yang demikian, Hassan Al Banna tidak menuntut taat yang sempurna bagi al-Akh yang masih berada di peringkat ta’arif… Memerlukan supaya al-akh diperkenalkan dengan Islam dan ditarbiyah dengan bersungguh-sungguh.

Sesungguh nya jamaah dan para amilin di dalam jamaah memikul tanggungjawab yang besar di dalam usaha memastikan jamaah dapat berperanan dan berfungsi dengan berkesan di dalam masarakat dan di dalam meraih keridhaan Ilahi, memartabatkan hukumah islamiyah.


# Sedutan daripada beberapa Kitab Harakah, Lensa Ummu Fathiyah & Ceramah Abu Aiman 22 Feb 2010 di Pejabat JIM Joh.

Wednesday, February 10, 2010

Agama Menyeru Kepada Jamaah



Aku baru sampai dari bermusafir semenjak semalam. Seperti yang ku lakukan semenjak puluhan tahun... stok buku fikrah di rumah dapat ku tela'ah dalam perjalanan ... Kali ini ialah Kitab Method Pemikiran Al-Banna Antara Tetap & Berubah karangan Dr Jumaah Amin. Ku salinkan dari buku yang ku baca dalam flight sepanjang perjalanan untuk dikongsi bersama...

Agama Menyeru Kepada Jamaah (m.s.42).
Rasulullah saw pernah menegaskan (bermaksud) "Tangan Allah bersama jamaah". Sesiapa yang menyendiri akan menyendiri di dalam neraka.

"Serigala hanya memakan kambing yang bersendirian"

"Mukmin sesama mukmin seperti sebuah bangunan - saling kuat memperkuat"

Manakala bantu membantu di dalam perkara kebaikkan dan takwa adalah perkara syara'. Berpesan-pesan dengan kebenaran dan kebesaran merupakan salah satu syarat kejayaan. Terlepas dari kerugian di dunia dan akhirat. Hukum pula menyatakan, tidak sah solat sesaorang bersembahyang bersendirian di belakang syaf. Begitu juga berada di depan imam.

Realiti mengatakan pekerjaan yang mendatangkan hasil yang lumayan ialah kerja yang dilakukan secara kolektif. Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Lemah apabila berseorangan, kuat tetekala ramai dan kerja yang besar dan berat tidak dapat dilaksanakan kecuali melalui gabungan tenaga dan usaha. Firman Allah taala bermaksud (Asaaf : 4) "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama Nya dalam barisan yang tersusun rapi seolah-seolah mereka sebuah yang tersusun kukuh".

Lebih daripada itu realiti musuh juga menuntut kita beramal jama'i. Musuh tidak bekerja secara individu atau dalam kelompok yang berpecah-pecah. Sebaliknya mereka mempunyai susunan organisasi dengan struktur, sistem dan kepimpinan di semua peringkat. Tempatan, serantau dan antarabangsa. Justru itu, kita wajib memerangi mereka dengan cara yang sama juga iaitu 'amal jama'i'. Tidak mungkin amal fardhi boleh melawan amal jama'i dan amal yang berkecamuk melawan yang tersusun kemas seperti hakikat batu yang kecil tidak boleh menandingi bukit yang tersergam.

Allah swt pernah memberi amaran dalam hal ini dengan firmanNya (Al-Anfal 73) "Dan orang-orang kafir sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu wahai umat Islam tidak menjalankan dasar bantu membantu sesama sendiri yang diperintahkan ALlah itu, niscaya akan berlakulah fitnah, kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar. Maknanya jika kamu tidak berbuat demikian ialah, jika kamu tidak bersatu dan saling bantu membantu, niscaya akan berlaku fitnah dan kerosakan yang besar di atas muka bumi sememangnya tiada kerosakan yang lebih besar apabila kekuatan kufur bersatu manakala kekuatan Islam berpecah belah.

..... Akan bersambung (Insya Allah).