Tuesday, October 20, 2009

Mengapa Aku Beramal ?

Alhamdulillah, wassalatuwassalamu Rasulillah.

Aku benar-benar merasakan, aku adalah antara segelintir di muka bumi ini yang sungguh bertuah. Kisah bermula apabila buat pertama kalinya aku diperkenalkan dengan fikrah Islam yang syumul yang berasaskan aqidah salimah hampir 30 tahun yang lalu. Sebelum itu aku sebenarnya adalah seorang Islam 'ikutan'. Tidak tahu mengapa aku harus beramal, melainkan sebagai kewajipan yang longgar.
Fikrah Islamiah yang ku miliki ini sudah kumiliki sekian lama dan saban hari mulai ku diperkenalkan terus ku suburkan dan perkuatkan. Aku sentiasa 'diberikan' kefahaman yang baru setiap hari dan kesempatan berinteraksi dengan para amilin. Bertambah ilmu, bertambah jelas pandanganku, bertambahlah mantap keyakinanku. Apa jua fenomena dalam hidup dihadapan ku, di dalam masyarakat ini, di dunia ini ... menambahkan rasa keyakinanku. Inilah Jalan Nya. Jalan yag satu... jalan yang dilalui oleh Rasulullah saw, para sahabatnya dan salafus solih yang berjuang untuk meletakkan Deen-ul Islam pada kedudukan yang sewajarnya.
Ya ... kita diajar di dalam deen ini untuk beramal. Rasulullah saw yang mengajar kita. Amal Islami untuk menjayakan misi dan visi kerasulan Rasulullah saw. Kewafatannya tidak mengakhiri perjuangan deen ini. Ia disambung oleh para khalifah yang empat dan para sahabat yang ditarbiah di dalam madrasah rasulullah saw. Wahyu yang diterima Rasulullah secara berperingkat dan peristiwa-peristiwa yang dilalui Rasulullah adalah madrasah tarbiyah yang mempunyai 'seribu satu' panduan untuk rujukan dalam perjalanan dakwah dan tarbiyah ummat selepas itu. Siapakah gerangan yang boleh menterjemahkan manhaj dan gagasan Rasulullah saw itu untuk panduan dan ikutan umat seterusnya? Siapakah gerangan yang akan menunjukkan kepada mereka yang ingin beramal bagi menyambung misi dan visi perjuangan Rasulullah saw sebagai penamat ambiya?
Alhamdulillah ... aku benar-benar bersyukur kepadaMu ya Rahman ya Rahim.... Kau telah tunjukkan dan izinkan aku untuk bersama-sama mereka yang ingin beramal meneruskan tanggungjawab besar deenMu yang belum disempurnakan. Aku insaf, aku masih memiliki banyak kelemahan, namun aku sedar bahawa aku tidak ada jalan pilihan lain yang wajar diikuti. Jalan yang ku pilih ini yang dapat menyampaikan hakikat amal yang sebenar.
Jalan dakwah, tarbiyah dan tanzim Rasulullah yang dilaksanakan bersama para sahabat memiliki disiplin amal yang terpimpin. Jalan tersebut telah dapat di gali kembali dan diketengahkan oleh As Syahid Hassan Al-Banna dan Ikhwan Mslimin. As-Syahid adalah mujaddid penerus perjuangan, membawa misi ke arah pencapaian misi yang tinggi deen ini. Sesiapa yang beramal dengan disiplin amal tersebut, sebenarnya dialah yang beramal meneruskan misi dan visi Rasulullah saw. Alangkah ruginya aku jika aku tidak beramal berasaskan dan mengikut disiplin amal yang dapat menyampai dan menemukan aku dengan disiplin amal Rasulullah saw. Aku bersyahadah dan berselawat ke atasmu ya Rasulullah saw, kerana aku berhajat memastikan setiap detik hidup dan amalku adalah semata-mata mengikuti jalan mu ... jalan untuk meraih keridhaan Allah Rabbul Alamin.
Wallahu 'alam.

Tuesday, October 13, 2009

GHURABA'


Bismillahirahmanirahim
Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah rabbul alamin di atas segala nikmat yang dicurahkan kepada saya hingga ke saat ini. Selawat dan salam kepada Baginda Rasulullah s.a.w, para pengikut generasi awal, salafus solih dan umat yang taat terhadap ajarannya.
Alhamdulillah, blog ini lahir pada hari ini dan Insya Allah akan saya manfaatkan sebahagian dari tugas Ibadah saya kepada ALlah swt di samping untuk berkongsi kefahaman, pengalaman dan pandangan kepada semua pembaca.

Mengapa ku beri nama GHURABA' ?

Pada penelitian saya dari definisi ghuraba' yang bermaksud 'dagang' memberikan pengertian yang mendalam di dalam kehidupan ini.

a. Kita adalah pedagang di bumi Allah ini. Kehadiran kita disini ada permulaan 'perjalanan' dan akan berakhir suatu masa nanti. Kehidupan ini adalah suatu perjalanan pendek ... kerana kita tidak tahu bila akan berakhir. Kehidupan ini juga satu perjalanan yang panjang ... kerana kita akan ke akhirat ... yang mana kehidupan di sana sangat begitu panjang dan perlu bekalan yang sangat banyak agar kehidupan kita di sana nanti mencukupi, selesa dan selamat. Sebagai pedang di bumi Allah ini pelbagai tugas dan tanggungjawab perlu kita pikul, teliti dan laksanakan. Tugas di berbagai jenis, tahap, peringkat, kecil dan besar. Asalkan kesemuanya tugasan-tugasan tersebut memberi makna untuk kehidupan yang lebih lama nanti.

b. Hari ini kehidupan Islam masih begitu 'dagang'.

"Islam itu dagang & akan kembali dagang. Maka, berbahagialah orang2 yg dagang." (HR Muslim)

Jadi begitu banyak isu, perkara, fenomena yang boleh saya dan anda bicarakan di dalam blog maya ini. Harapannya akan menambahkan kefahaman dan kesedaran dan seterusnya melahirkan amal yang soleh buat diri, keluarga dan masyarakat.

Wassalam.