Wednesday, October 28, 2009

Keperluan & Kepentingan Mensynergikan Amal Dengan Isteri & Anak-anak

Assalamualaikum WM WB
Beberapa minggu kebelakangan ini saya dikemukan dengan beberapa persoalan mengenai 'tidak apa' jika dalam satu keluarga; ayah, ibu, anak-anak memilih jalan dakwah dan jalan tarbiyah pilihan masing-masing. Khusnya tulisan sahabat saya dalam blognya berjudul Sembang-sembang tentang Jemaah Islam. Kemudian saya bersama beberapa sahabat berincang dan 'berbalah' mana yang betul/mana yang kurang betul/salah. Tulisan saya ni sekedar menilai, mengulas dan mengenengahkan pandangan saya yang tak berapa banyak ilmu ini. Tapi ini adalah keyakinan saya di saat ini selepas melalui hampir 30 tahun dalam dakwah dan tarbiyah bermula dari seorang bujang sehingga kini dikurniakan Allah 10 orang anak yang sedang membesar, remaja dan bakal meneruskan perjuangan saya dan isteri.
Synergi dalam perbincangan ini merujuk kepada pengemblingan tenaga-tenaga yang 'kecil' tetapi dengan kesatuan, gerak kerja yang bersama, menuju suatu sasaran dan matlamat, akan menghasilkan kekuatan yang lebih besar. Bukan 1+1=2, tetapi 1+1=6 Insya Allah.
Asas gerakan Islam ialah berjamaah berasaskan aqidah yang benar. Berdakwah secara Jamaah (organisasi) dan dalam bentuk gerakan (Harakah) adalah suatu tuntutan syara’ yang perlu diberi perhatian oleh setiap daie yang menyeru manusia kepada Islam sebagai ad Deen. Tuntutan ini jelas di dalam nas-nas al Quran al Karim dan As Sunnah Rasulullah s.a.w, antaranya Firman Allah s.w.t:-

Terjemahannya: “Hendaklah ada dikalangan kamu satu ummah yang menyeru kepada kebaikan , menyuruh kepada kemakrufan dan mencegah daripada kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang berjaya“
(Surah ali Imran : 104)

Ibn Kathir mentafsirkan ayat ini bahawa hendaklah ujud suatu kumpulan dari umat Islam yang menjalankan kerja-kerja dakwah walaupun ianya wajib atas setiap individu. Demikian juga Asy Syahid Sayyid Qutb mentafsirkan ayat tersebut, bahawa semestinya terdapat suatu jamaah yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada munkar, malahan perlu wujud kekuasaan bagi memerintah kepada makruf dan mencegah daripada munkar. Di dalam Tafsir al Manar, ada menjelaskan bahawa ‘Ummah itu merupakan satu jamaah yang terdiri daripada beberapa individu yang mempunyai ikatan lyang menyatupadukan mereka, terdapat kesatuan yang menjadikan mereka laksana anggota dalam satu tubuh badan.

Di dalam sunnah Rasulullah s.a.w, terdapat juga gesaan agar orang Mukmin sentiasa melazimi Jamaah Islam dan pimpinannya, sepertimana pesanan Rasulullah s.a.w kepada sahabatnya Huzaifah bin al Yaman r.a, antara kata-kata baginda yang bermaksud : ”Hendaklah kamu bersama Jamaah Muslimin dan Imam mereka“
Sirah dari perjalanan dakwah Rasulullah s.a.w telah memperlihatkan bahawa baginda telah menitik beratkan pembentukan jamaah (organisasi). Baginda Rasulullah s.a.w telah memungut seorang demi seorang dan membentuk jamaah para sahabat r.a. Mereka sama-sama berdakwah kepada Deen Allah s.w.t di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w.

Tanzim Atau Penyusunan Organisasi
Tanzim adalah salah satu ciri penting dalam ‘Amal Islami Jamaah. Ini memberi erti bahawa jamaah mestilah tersusun rapi dalam semua urusan dan kerjanya. Tanpa penyusunan yang rapi, kejayaan sukar dinikmati dan segala kerja atau usaha yang dilakukan adalah bersifat individu walaupun pada zahirnya berbentuk jamaah. Dalam hubungan ini Al Imam Asy Syahid Hassan Al Banna telah menggariskan dasar ( langkah-langkah ) umum yang perlu diikuti dalam usaha dakwah. Dasar tersebut adalah:-

a.Al Iman al ‘Amid (Iman yang mendalam)
b.At Takwin At Tanzim Ad Daqik (Penyusunan yang rapi)
c.Al ‘Amal Al Muatawasil Al Jihad Al Mustami

Rasulullah s.a.w memerintahkan tiga orang yang bermusafir supaya memilih salah seorang dari mereka sebagai ketua (amir). Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Apabila keluar tiga orang bermusafir, maka lantiklah sebagai Amir salah seorang daripada mereka.“ Dalam riwayat yang lain ditambah“. bahawa hendaklah mereka melantik seorang amir ke atas mereka.“ (Hadith Riwayat Abu Daud)

Dengan ini jelaslah bahawa Islam mementingkan tanzim dan peraturan di dalam perjalanan (safar) atau di dalam kumpulan yang kecil. Begitu juga jamaah yang bersifat sementara, juga memerlukan kepada tanzim yang rapi. Lebih-lebih lagi kerja atau usaha jamaah ialah untuk membersihkan masyarakat daripada kekufuran atau jahiliyyah dan membina semula masyarakat berdasarkan keImanan dan kefahaman Islam yang syamil dan kamil (menyeluruh dan sempurna), tentu sekali memerlukan kepada kerja-kerja yang penuh berperaturan dan tersusun rapi. Sehubungan dengan ini terdapat dalil bahawa Allah s.w.t amat cinta kepada mereka yang berjihad (berperang) pada jalan Allah s.w.t dalam satu saf (barisan berjamaah) yang tersusun rapi laksana binaan tersusun kukuh seperti yang telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firman Nya :-

Terjemahannya: “Sesungguhnya Allah kasih kepada mereka yang berperang pada jalanNya dalam barisan yang teratur, seakan-akan mereka suatu binaan yang kukuh“
(Surah as Saff : 4)

Lebih lanjut lagi jika dilihat dalam waqiq hari ini, Islam sedang menghadapi musuh-musuh tempatan dan antarabangsa, menambahkan lagi betapa wajib dan perlunya kepada Tanzim dan ‘Amal Islami. Musuh-musuh Islam terdiri daripada berpuluh-puluh pertubuhan, pergerakan, badan dan institusi yang mengancam Islam dan Umat Islam. Mereka menggunakan segala teknik terkini di dalam serangan mereka terhadap Islam samada dalam perancangan ataupun perlaksanaan. Musuh-musuh Islam bergerak secara berjamaah, kumpulan atau parti. Malahan secara barisan (front). Mereka bantu membantu antara satu sama lain menentang Islam. Hakikat persekutuan musuh ini telah disebut oleh Allah s.w.t di dalam firmanya :

Terjemahannya: “Orang-orang kafir setengah mereka saling membantu setengah yanglain. Jika kamu (orang mukmin) tidak berbuat demikian (bantu membantu ) menghadapi mereka, nescaya berlaku fitnah dan kerosakan yang besar di bumi ini“ (Surah al Anfal : 73)

Oleh kerana Jamaah Islam wajib bertanzim, tidak memadai sekadar berceramah di masjid atau di tempat-tempat umum. Ianya memerlukan kepada segenap aspek. Kesemua yang yakin dengan perubahan Islam yang mana mereka bersedia memberi segala yang dituntut oleh perubahan tersebut (At Taghyir Al Islami) samada meibatkan moral ataupun material. Ianya juga perlu menyediakan program-program perubahan tersebut, perencanaan, manhaj, peralatan, jalan-jalan dan sebagainya yang berkaitan dengan usaha-usaha perubahan tersebut. Kesemua ini memerlukan kepada penyusunan yang rapi (At Tanzim Ad Daqiq). Tanpa tanzim tersebut akan menjadikan ‘Amal Islami itu hanya kerja-kerja ceramah, rapat umum atau hanya pengetahuan yang bergerak di tepi kehidupan manusia tanpa membawa natijah yang sebenarnya seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Jika kefahaman di atas di lihat melalui skel yang lebih kecil iaitu saiz keluarga, ciri-ciri jamaah jika dapat diwujudkan ianya akan lebih berkesan dalam membantu membentuk dan membina kekuatan Islam dalam masyarakat. Hassan Al-Banna dalam menjelaskan maratib amal bermula dengan pemebntukan Individu Muslim, ... kemudian Keluarga Muslim, diikuti Masyarakat islam, Negara Islam dan Ustazul Alam. Bukankan al-Imam menekankan peri pentingnya Keluarga Muslim Yang Kuat ? Bagaimana mungkin keluarga yang kuat dapat dibina seandainya ayah, ibu dan anak-anak tidak dapat disatukan (wehdah). Mungkinkah individu berwehdah di luar, sedangkan dalam keluarganya 'bercelaru'? Bagaimana mungkin anak-anak dakwah dan harakah memiliki perbezaan fikrah, perbezaan tanzim, perbezaan neraca & perbezaan surut sedangkan ayah ibunya sendiri adalah mereka yang berada dalam gabungan amal tanzimi ? ... Itu tak mungkin !?

Bukankah semolek dan sewajarnya sesiapapun yang cintakan Islam, cintakan gerakan Islam, cintakan pembangunan ummah muslimah mesti menyokong dan mendorong agar anak-anak kepada ibu/apa amilin menyuburkan kehidupan keluarga dakwah dan keluarga dakwah. Alangkah indahnya jika anak-anak merupakan pelengkap dan penyokong gagasan ibu/bapa di dalam membentuk usrah muslimah sohehah?

"Bertolong-tolonglah dalam mengerjakan kebaikkan dan taqwa dan janganlah kami saling bekerjasama dalam keburukan dan kesesatan" (maksud firman ALlah).

Alangkah cantik, indah dan syahdunya jika anak-anak merupakan penyokong kuat dibelakang ibu/bapa yang sedang giat memikir, merancang dan menyemarakkan dalam masyarakat. Alangkah nikmatnya jika ibu/bapa yang sedang sibuk dan aktif menggegrakkan masyarakat kearah amalan Islam, anak-anak turut turun sebagai sekretariatnya?

Persoalan
Ada sebahagian sahabat saya yang menilai dan mendapati dengan yakin bahawa sesetengah keluarga, anak-anak mengikuti tanzim yang berlainan dengan tanzim ikutan ibu/bapa nya.

dan... akan bersambung Insay Allah.


Rujukan/cedokan


Tuesday, October 27, 2009

Syekh Hasan Bashir: Kau pergi setelah kau curahkanbaktimu

Pemergian Mujahid Hasan Bashir adalah satu kehilangan besar dalam dakwah dan tarbiyah masa kini. Kembalinya ke rahmatullah Da’iah Mujahid Murabit Hasan Bashir Abdul Majid ketika di Malaysia pada pagi hari Khamis 22 Okt 2009 pada umur 57 tahun setelah menghabiskan usianya berdakwah dan berjihad bersama dakwah IM. Beliau dirawat di sebuah hospital di Malaysia setelah disahkan mengalami ketumbuhan di kepala, namun taqdir Allah beliau meninggal selepas itu.

Almarhum -rahimahullah- telah bergabung dengan jemaah IM di Sudan sejak tahun 60an lagi sehingga menjadi salah seorang anggota MT dan Ketua Tullab. Beliau adalah salah seorang dari 7 orang yang awal mengasaskan amal ikhwani di Sudan dalam tahun-tahun 70an, kemudian selepas itu ‘all out’ di luar Negara selama lebih kurang 15 tahun. SHB setia dan wafa’ dengan bai’ahnya dengan berkhidmat untuk dakwah, bermusafir dari satu negara ke satu negara yang lain tanpa jemu sehingga saat dia menemui Allah swt ketika dalam perjalanan melaksanakan salah satu tugas dakwahnya.

Semoga amal tanzimi yang syekh amalkan menjadi inspirasi semua amilin dan semoga roh syekh kini dan selamanya bersama para anbiya' dan salafus soleh. Amin.

Tuesday, October 20, 2009

Mengapa Aku Beramal ?

Alhamdulillah, wassalatuwassalamu Rasulillah.

Aku benar-benar merasakan, aku adalah antara segelintir di muka bumi ini yang sungguh bertuah. Kisah bermula apabila buat pertama kalinya aku diperkenalkan dengan fikrah Islam yang syumul yang berasaskan aqidah salimah hampir 30 tahun yang lalu. Sebelum itu aku sebenarnya adalah seorang Islam 'ikutan'. Tidak tahu mengapa aku harus beramal, melainkan sebagai kewajipan yang longgar.
Fikrah Islamiah yang ku miliki ini sudah kumiliki sekian lama dan saban hari mulai ku diperkenalkan terus ku suburkan dan perkuatkan. Aku sentiasa 'diberikan' kefahaman yang baru setiap hari dan kesempatan berinteraksi dengan para amilin. Bertambah ilmu, bertambah jelas pandanganku, bertambahlah mantap keyakinanku. Apa jua fenomena dalam hidup dihadapan ku, di dalam masyarakat ini, di dunia ini ... menambahkan rasa keyakinanku. Inilah Jalan Nya. Jalan yag satu... jalan yang dilalui oleh Rasulullah saw, para sahabatnya dan salafus solih yang berjuang untuk meletakkan Deen-ul Islam pada kedudukan yang sewajarnya.
Ya ... kita diajar di dalam deen ini untuk beramal. Rasulullah saw yang mengajar kita. Amal Islami untuk menjayakan misi dan visi kerasulan Rasulullah saw. Kewafatannya tidak mengakhiri perjuangan deen ini. Ia disambung oleh para khalifah yang empat dan para sahabat yang ditarbiah di dalam madrasah rasulullah saw. Wahyu yang diterima Rasulullah secara berperingkat dan peristiwa-peristiwa yang dilalui Rasulullah adalah madrasah tarbiyah yang mempunyai 'seribu satu' panduan untuk rujukan dalam perjalanan dakwah dan tarbiyah ummat selepas itu. Siapakah gerangan yang boleh menterjemahkan manhaj dan gagasan Rasulullah saw itu untuk panduan dan ikutan umat seterusnya? Siapakah gerangan yang akan menunjukkan kepada mereka yang ingin beramal bagi menyambung misi dan visi perjuangan Rasulullah saw sebagai penamat ambiya?
Alhamdulillah ... aku benar-benar bersyukur kepadaMu ya Rahman ya Rahim.... Kau telah tunjukkan dan izinkan aku untuk bersama-sama mereka yang ingin beramal meneruskan tanggungjawab besar deenMu yang belum disempurnakan. Aku insaf, aku masih memiliki banyak kelemahan, namun aku sedar bahawa aku tidak ada jalan pilihan lain yang wajar diikuti. Jalan yang ku pilih ini yang dapat menyampaikan hakikat amal yang sebenar.
Jalan dakwah, tarbiyah dan tanzim Rasulullah yang dilaksanakan bersama para sahabat memiliki disiplin amal yang terpimpin. Jalan tersebut telah dapat di gali kembali dan diketengahkan oleh As Syahid Hassan Al-Banna dan Ikhwan Mslimin. As-Syahid adalah mujaddid penerus perjuangan, membawa misi ke arah pencapaian misi yang tinggi deen ini. Sesiapa yang beramal dengan disiplin amal tersebut, sebenarnya dialah yang beramal meneruskan misi dan visi Rasulullah saw. Alangkah ruginya aku jika aku tidak beramal berasaskan dan mengikut disiplin amal yang dapat menyampai dan menemukan aku dengan disiplin amal Rasulullah saw. Aku bersyahadah dan berselawat ke atasmu ya Rasulullah saw, kerana aku berhajat memastikan setiap detik hidup dan amalku adalah semata-mata mengikuti jalan mu ... jalan untuk meraih keridhaan Allah Rabbul Alamin.
Wallahu 'alam.

Tuesday, October 13, 2009

GHURABA'


Bismillahirahmanirahim
Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah rabbul alamin di atas segala nikmat yang dicurahkan kepada saya hingga ke saat ini. Selawat dan salam kepada Baginda Rasulullah s.a.w, para pengikut generasi awal, salafus solih dan umat yang taat terhadap ajarannya.
Alhamdulillah, blog ini lahir pada hari ini dan Insya Allah akan saya manfaatkan sebahagian dari tugas Ibadah saya kepada ALlah swt di samping untuk berkongsi kefahaman, pengalaman dan pandangan kepada semua pembaca.

Mengapa ku beri nama GHURABA' ?

Pada penelitian saya dari definisi ghuraba' yang bermaksud 'dagang' memberikan pengertian yang mendalam di dalam kehidupan ini.

a. Kita adalah pedagang di bumi Allah ini. Kehadiran kita disini ada permulaan 'perjalanan' dan akan berakhir suatu masa nanti. Kehidupan ini adalah suatu perjalanan pendek ... kerana kita tidak tahu bila akan berakhir. Kehidupan ini juga satu perjalanan yang panjang ... kerana kita akan ke akhirat ... yang mana kehidupan di sana sangat begitu panjang dan perlu bekalan yang sangat banyak agar kehidupan kita di sana nanti mencukupi, selesa dan selamat. Sebagai pedang di bumi Allah ini pelbagai tugas dan tanggungjawab perlu kita pikul, teliti dan laksanakan. Tugas di berbagai jenis, tahap, peringkat, kecil dan besar. Asalkan kesemuanya tugasan-tugasan tersebut memberi makna untuk kehidupan yang lebih lama nanti.

b. Hari ini kehidupan Islam masih begitu 'dagang'.

"Islam itu dagang & akan kembali dagang. Maka, berbahagialah orang2 yg dagang." (HR Muslim)

Jadi begitu banyak isu, perkara, fenomena yang boleh saya dan anda bicarakan di dalam blog maya ini. Harapannya akan menambahkan kefahaman dan kesedaran dan seterusnya melahirkan amal yang soleh buat diri, keluarga dan masyarakat.

Wassalam.